SRI AMAN-- Polis berjaya memberkas seorang lelaki hari ini yang merupakan suspek kes bunuh seorang lelaki warga Indonesia yang dijumpai mati di kawasan sebuah ladang sawit di Pantu semalam.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Superintenden Dennis Bunyam berkata, suspek warga Indonesia berusia 25 tahun ditangkap sekitar jam 12 tengah hari dalam Operasi Khas sepasukan polis IPD Sri Aman dan sepasukan polis Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sarawak di kawasan lapang berdekatan kuarters pekerja ladang tersebut.
"Penangkapan ini merupakan hasil daripada maklumat orang awam serta tindakan pantas pasukan siasatan.
"Suspek ditahan di bawah Seksyen 302/435 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada masyarakat yang telah menyalurkan maklumat sehingga suspek dapat ditangkap dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.
Dalam pada itu beliau turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan terus bekerjasama dengan pihak polis bagi mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.
Terdahulu, Dennis yang mengesahkan kejadian itu berkata, polis menerima panggilan berhubung kes itu sekitar ham 4.30 petang semalam.
"Balai Polis Pantu terima maklumat mengatakan ada pergaduhan berlaku di sebuah ladang sawit di Pantu, Sri Aman yang melibatkan warganegara Indonesia dan dipercayai salah seorang telah tidak sedarkan diri.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati satu mayat lelaki terbaring tidak bernyawa di mana terdapat kesan luka di bahagian leher, lengan kanan, tangan kanan, paha kanan dan tapak kaki disyaki ditetak dengan objek tajam dipercayai parang," katanya.
Jelasnya lagi, mangsa merupakan pekerja ladang kelapa sawit, warganegara Indonesia, berumur 35 tahun.
"Suspek juga pekerja ladang kelapa sawit. Sebelum melarikan diri, suspek juga telah bertindak membakar rumah kuarters pekerja menyebabkan 12 unit kuarters pekerja ladang tersebut terbakar keseluruhan," jelasnya.
Mengulas lanjut, Dennis memberitahu motif kejadian dipercayai berpunca daripada masalah peribadi tidak puas hati di antara saspek dan mangsa.
tamat
Catat Ulasan