KUCHING-- Demi mengelak daripada diperiksa polis, seorang sanggup terjun dari bilik sewa di tingkat tiga sebuah bangunan kedai di Desa Ilmu, Kota Samarahan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintenden Damataries Lautin berkata, akibat perbuatannya itu, suspek berusia 32 tahun berasal dari Kota Belud, Sabah dikhuatiri patah kedua-dua kakinya.
"Suspek bertindak sedemikian kerana dikatakan cuba melarikan diri daripada diperiksa polis iaitu sekitar jam 10.30 pagi.
"Sepasukan polis ketika itu sedang melakukan serbuan ke atas bilik sewa suspek selepas mendapat laporan terdapat kegiatan penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahya, setelah mengetuk beberapa kali, pasukan serbuan telah mendengar bunyi dentuman kuat dari bahagian luar bangunan tersebut dan ada orang awam menjerit mengatakan ada orang terjun.
Berikutan itu katanya, pasukan serbuan terus ke lokasi dan mendapati suspek duduk di tepi longkang dengan kecederaan di kedua-dua pergelangan kaki, lutut dan luka tapak tangan dipercayai akibat terjun dari bilik sewa dalam cubaan melarikan diri daripada ditangkap.
Kata beliau lagi, suspek kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Sentosa dan kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.
Mengulas lanjut Damataries memberitahu hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah sejak awal 2023.
Tegasnya, suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari seorang lelaki tidak dikenalinya melalui panggilan telefon sekitar Kampung Tanjung Bundong.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek kini ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihak polis sedang giat mengesan pembekal yang belum dikenal pasti.
tamat
Catat Ulasan