KUCHING— Seorang ditangkap dua lagi masih diburu disyaki terlibat kes samun berkawan di sebuah kedai runcit 24 jam di Muara Tebas yang berlaku pada 30 Mac lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, suspek berusia 21 tahun ditangkap sekitar jam 4 petang semalam oleh sepasukan polis dari Balai Polis Gita di kawasan Demak Laut, Jalan Bako.
“Selain tangkapan, polis turut merampas sebuah motosikal curi yang dilaporkan hilang di Kota Samarahan yang digunakan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Merbin, polis menerima laporan berhubung kes samun berkawan tanpa senjata api itu pada 6 April.
“Mangsa berusia 47 tahun melaporkan pembantu kedai runcit 24 jamnya berusia 27 tahun pada 30 Mac 2025 sekitar jam 8.30 malam telah didatangi oleh tiga suspek lelaki yang membawa bersenjata tajam.
“Salah seorang suspek telah mengacukan senjata ke arah mangsa dan bertindak mengambil duit di kaunter sebanyak RM2,950,” jelasnya.
Mengulas lanjut katanya, hasil soal siasat awal, suspek mengaku terlibat dalam kes samun itu.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal suspek didapati positif dadah,” ujarnya.
Susulan itu, tegasnya, suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 14 April 2025.
Menurutnya, soal siasat lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti rakan sejenayah yang masih bebas dan penglibatan suspek dalam lain-lain kes.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebatan.
“Pihak polis turut mengalu-alukan masyarakat sekiranya mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian di atas untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Ridzainuddin Rosley Abdullah di talian 010-9431449.
“Selain itu masyarakat juga boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan orang yang mencurigakan di sekitar kawasan berdekatan dengan menghubungi pusat kawalan IPD Kuching di talian 082-24444,” katanya lagi.
tamat
Catat Ulasan