BETONG: Bahagian Betong dan kawasan sekitarnya akan menikmati perkhidmatan udara menjelang akhir tahun ini nanti berikutan siapnya STOLport Bebuling pada November tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurutnya, perkhidmatan ini akan disediakan melalui syarikat penerbangan milik Sarawak sendiri iaitu Air Borneo.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau tiga projek besar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban bagi melihat sendiri perkembangan semasa pembinaannya, hari ini.
"Projek-projek ini merangkumi STOLport Bebuling bernilai RM248 juta yang kini mencapai 73.77 peratus siap, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Bebuling bernilai RM16 juta yang serta Jambatan Sungai Paku bernilai RM36 juta.
CPPC katanya hampir siap kecuali penyiapan akhir yang perlu dilakukan.
“Dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah (RECODA), projek ini bertujuan bagi membangunkan sekitar 1,000 ekar kawasan sekitar STOLport," jelasnya.
Uggah sebagai berkata bahawa kerajaan telah memilih empat syarikat bagi menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi di kawasan ini.
CPPC katanya akan mengumpul, memproses, dan membungkus produk mereka untuk dihantar ke pasaran melalui udara dengan segera.
Bercakap mengenai Jambatan Sungai Paku, Uggah yang turut diiringi Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Pengarah JKR Sarawak Dr Cassidy Morris, dan Residen Betong Richard M Abunawas berkata bahawa jambatan tersebut dijangka siap sepenuhnya dan bakaldigunakan pada November tahun ini juga.
"Projek itu kini mencapai 65.88 peratus siap," jelas beliau.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan menambah bahawa Sarawak kini sedang melalui fasa transformasi pembangunan yang cukup besar dan progresif.
Sebagaimana semua maklum katanya, rakyat negeri ini sendiri melihat banyak projek infrastruktur serta prasarana utama sedang dilaksanakan di kawasan luar bandar.
“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg mahukan projek-projek ini dilaksanakan dan disiapkan dengan jayanya,' jelas Uggah.
Beliau dalam masa sama mahukan semua kawasan luar bandar dihubungkan dengan rangkaian jalan yang baik termasuk jambatan.
“Ini akan membantu membangunkan potensi ekonomi di kawasan tersebut bagi meningkatkan pendapatan penduduk.
Sebagai contoh, kita sedang membina Jalan Pesisir dan Jalan Batang Kedua. Kita juga sedang meneliti banyak jalan balak,” katanya.
Beliau menambah bahawa Sarawak juga sedang membina Jalan Penghubung Sarawak/Sabah 1 dengan kos RM1 bilion dan Jalan Penghubung Sarawak/Sabah 2 yang menelan perbelanjaan sebanyak RM7.1 bilion.
Menurutnya, ini adalah tambahan kepada 16 jambatan yang sedang dibina di seluruh negeri.
“Menjelang bulan ini, Jambatan Jepak di Bintulu dan Jambatan Batang Rajang berhampiran Sibu akan dibuka kepada orang ramai manakala menjelang April, Jambatan Saribas 1 akan siap, manakala jambatan terpanjang di negara ini yang merentasi sungai, iaitu Jambatan Batang Lupar 1, juga akan siap," ujarnya.
Beliau sebagai menambah bahawa Jambatan Lingga di Sri Aman juga telah siap, tetapi masih menunggu jalan akses di kedua-dua belah jambatan untuk disiapkan.
Catat Ulasan