SPAOH: Pusat hemodialisis yang terbaru akan dibina di Klinik Kesihatan Spaoh dan tender bagi pembinaannya akan dibuka bulan hadapan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurutnya, dengan adanya pusat hemodialisis ini di Spaoh akan membantu dalam mengurangkan mengurangkan kesesakan di Hospital Sri Aman, Hospital Betong dan Klinik Kesihatan Debak khususnya bagi pesakit buah pinggang yang ingin menjalankan khidmat dialisis.
"Pusat hemodialisis Spaoh akan dibina di Klinik Kesihatan Spaoh yang mana setiap pesakit yang memerlukan rawatan tidak perlu lagi memandu jauh apabila pusat ini siap nanti.
Dua lagi pusat hemodialisis katanya akan turut dibina di Kabong dan Beladin yang mana kos pembinaan setiap satunya menelan perbelanjaan sebanyak RM5 juta.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita hari ini selepas merasmikan kursus memasak untuk 30 wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ulu Paku, hari ini.
Kursus yang diadakan di rumah panjangnya di Rumah Mendit Unsu di Penom, diketuai oleh anak perempuannya Natasha Nasa yang juga Ketua Wanita PBB Bukit Saban.
Uggah berkata, kursus ini bertujuan memberi kemahiran yang diperlukan untuk membantu mereka meningkatkan pendapatan.
"Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memperkasakan golongan wanita sekaligus membantu mereka menjadi usahawan di masa hadapan,' ujarnya.
Dalam majlis tersebut, Uggah turut menyampaikan geran berjumlah RM169,300 kepada sebuah sekolah dan enam organisasi.
Catat Ulasan