KUCHING: Inisiatif pendidikan percuma anak Sarawak yang bermula 2026 akan diperluaskan kepada pelajar institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di bawah fasa kedua.
Perkara ini dijelaskan Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Dr Firdaus Abdullah selepas cadangan berkenaan dipersetujui secara dasar oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan usaha membangunkan lebih ramai tenaga kerja mahir di negeri ini.
"Datuk Patinggi Abang Johari secara dasarnya telah bersetuju dan perkara ini akan dilaksanakan pada fasa seterusnya iaitu fasa kedua di mana pendidikan percuma akan dipanjangkan kepada pelajar-pelajar Sarawak daripada IPTA tempatan terutamanya UiTM Cawangan Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Untuk pengetahuan, fasa pertama inisiatif pendidikan percuma 2026 ditawarkan kepada anak Sarawak yang menuntut di universiti milik Sarawak.
Dalam kunjungan itu, Dr Firdaus berkata, Premier Sarawak mencadangkan agar UiTM membantu Kerajaan Sarawak dalam transformasi agrikultur.
Beliau menjelaskan, antara cadangan Premier Sarawak itu adalah untuk menjadikan Kampus Mukah yang memiliki 500 hektar tanah sebagai hab projek penanaman padi terutamanya dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) benih padi, produktiviti dan hasil padi.
"Jadi kita akan meneliti cadangan Premier Sarawak tadi dan kita akan menubuhkan satu pasukan penyelidikan untuk menjalankan kajian serta mencadangkan kepada kerajaan Sarawak nanti bagaimana kita dapat membantu dari segi teknologi, infrastruktur dan produktiviti penanaman padi untuk Sarawak termasuk penyimpanan karbon kerana penanaman padi ini ada kaitan dengan perkara tersebut," jelasnya.
Tambahnya lagi, Premier Sarawak turut mencadangkan agar UiTM Cawangan Sarawak menyediakan satu kertas kerja untuk membentuk makmal R&D untuk projek mikroalgae.
Selain itu, dalam kunjungan berkenaan, Dr Firdaus turut mengemukakam mencadangkan kepada Premier Sarawak untuk menubuhkan 'Kursi Tun Openg History And Heritage'.
"UiTM akan bekerjasama dengan kursi ini untuk membuat kajian mengenai perkembangan Islam dan juga sejarah kebudayaan Sarawak," ujarnya.
tamat
Catat Ulasan