Pembuli bermaharajalela di SMK Taee?

 


KUCHING— Seorang ibu mendakwa masalah buli dan curi di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taee, Serian ‘bermaharajalela’ dan ‘tidak terbendung’.

Mana tidaknya sudah empat tahun masalah yang menimpa tiga anaknya yang berasrama di sekolah berkenaan, menjadi mangsa buli yang tidak berpenghujung.

Tidak tahan dengan keadaan itu, Qistyna Adyputra Sowe menerusi akaun Facebooknya terpaksa menggunakan ‘jalan terakhir’ iaitu meluahkan segalanya menerusi platform media sosial itu.

Berkongsi kisah buli yang menimpa tiga anaknya itu, dia berkata, pertama kali berlaku kejadian buli di asrama sekolah berkenaan melibatkan anak pertamanya.

“Anak pertama dibuli, dipukul sampai reak tulang belakangnya, duit belanja dan makanan pun ke curi hingga menyebabkan saya yang ketika itu bertugas di Kuala Lumpur terpaksa balik ke Sarawak kerana anak hari-hari telefon mengatakan dia tidak tahan lagi dibuli.

“Disebabkan kejadian itu, anak pertama terpaksa berpindah sekolah lain,” luahnya.

Qistyna berkata, insiden buli di asrama sekolah berkenaan tidak terhenti di situ sahaja.

“Tiba giliran anak kedua bersekolah asrama di situ, kejadian yang sama berlaku, anak kena buli dipukul sampai masuk hospital dan kes polis.

“Selain itu, makanan, pakaian, baldi dan sabun pun ke curi. Datang ke sekolah persoalkan perkara ini dengan pengetua selepas itu pengetua serahkan kepada PKHEM (penolong kanan hal ehwal murid) dan cikgu disiplin.

“Bila jumpa PKHEM tanya kenapa anak kena buli lagi cikgu cakap tidak tahu, pada akhirnya disuruh tanya pelajar yang membuli. Jawapan ringkas saja dari pelajar terbabit dia buli anak saya kerana geram tengok badan anak saya besar, sedap kena cubit dan tumbuk,” dedahnya.

Disebabkan kejadian itu, katanya, anak keduanya itu terpaksa keluar asrama selepas mengalami trauma dan fobia untuk tinggal di asrama sekolah berkenaan. 

Lebih menyedihkan, episod buli di asrama sekolah terbabit berlarutan hingga anak ketiganya.

“Cikgu-cikgu tidak mampu langsung kawal pelajar-pelajar SMK Taee yang sekian tahun semakin liar tak terkawal. Pelajar-pelajar kaki buli dibiarkan beraja di asrama. Budak yang kena buli terpaksa keluar asrama.

“Beginikah anda menguruskan sekolah anda cikgu-cikgu SMK Taee?

“Sudah empat tahun saya bersabar tetapi makin didiam makin anak-anak kita tidak dapat bersekolah dengan baik di SMK Taee.

“Kepada cikgu-cikgu SMK Taee terutama bahagian kepimpinan, sudah sampai masanya untuk saya bersuara. SMK Taee adalah sekolah tradisional kami sekolah yang sangat dekat di hati, masyarakat sekitar memanggil sekolah ini ‘Skulah Batu Ajung’.

“Justeru, saya memohon cikgu-cikgu SMK Taee ambil berat setiap aduan berkaitan buli ini dan menyelesaikannya,” ujarnya.

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama