Op Taring Chiller: Lebih 27 tan makanan sejuk beku tanpa permit dirampas



KUCHING— Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 27,131.80 kilogram (kg) produk makanan sejuk beku pelbagai jenis, dua buah kontena dan tujuh buah kenderaan pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2,326,524 dalam serbuan Op Taring Chiller di sebuah premis di Bintulu semalam.

Komander Briged Sarawak PGA SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 12 PGA, Miri bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Cawangan Bintulu sekitar jam 10 pagi semalam ke atas premis berkenaan yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan produk makanan sejuk beku tanpa permit yang sah. 



“Dalam serbuan yang telah dijalankan, pasukan serbuan telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun dan hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 27,131.80kg produk makanan sejuk beku pelbagai jenis dalam kawasan tersebut. 

“Turut dirampas dua buah kontena dan tujuh buah kenderaan pelbagai jenis dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2,326,524 mengikut harga pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambahnya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Cawangan Bintulu untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah kesalahan Seksyen 9(1)(3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Dalam pada itu, Dr Che Ghazali berkata, sepanjang pengoperasian Op Taring Briged Sarawak PGA yang dilaksanakan mulai 1 Januari hingga 7 Mac 2025, telah mencatatkan kejayaan bernilai RM161 juta.

Tambahnya, sebanyak 66 kes direkodkan dalam tempoh tersebut, melibatkan jumlah tangkapan seramai 165 orang iaitu 120 warga tempatan dan 45 warga asing serta rampasan sebanyak 81 buah kenderaan pelbagai jenis.      



Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama