KUCHING— Presiden Persatuan Kontraktor Petroleum Sarawak (SPECA) Datuk Rahman Lariwoo menyifatkan kenyataan bekas pegawai kanan Perbendaharaan Nik Azmi Nik Daud yang menggesa hak Petronas ke atas sumber minyak dan gas (O&G) di Sarawak tidak dipertikai, berat sebelah dan tidak memikirkan hak rakyat Sarawak.
Beliau berkata, individu terbabit disifatnya mungkin penyokong tegar Petronas dan mahu kelebihan daripada hasil minyak dan gas hanya dirasai rakyat di Semenanjung.
“Beliau mungkin hanya meyokong Petronas agar kelebihan dapat dirasai mereka dan tidak memikirkan hati nuraini rakyat Sarawak.
“Kita sepatutnya tidak bercakap terlebih dahulu tentang pekara seperti ini dan biarlah Premier Sarawak bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menentukan perkara ini,” tegasnya ketika mengulas tentang kenyataan Nik Azmi berkaitan hak minyak dan gas di negeri ini.
Tambahnya, jika perkara ini masih berlarutan dan menafikan hak Sarawak dalam melindungi hak sumber aslinya, perkara ini boleh dibawa ke mahkamah untuk menentukannya.
Dalam pada itu, Rahman berkata, jumlah Ahli Parlimen Sarawak dan Sabah yang sedikit berbanding Ahli Parlimen Semenanjung menjadi “kelebihan” kepada setiap dasar dan undang-undang yang mahu diluluskan di Dewan Rakyat sentiasa menyebelahi Semenanjung.
Justeru, beliau menegaskan, Sabah dan Sarawak harus mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen bagi mengimbangi jumlah berkenaan agar setiap dasar dan undang-undang yang mahu digubal tidak disifatkan “berat sebelah”.
“Semua orang bebas bersuara akan tetapi hak Sarawak kita sebagai rakyatnya harus berdiri teguh di belakang kepimpinan negeri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk bersama-sama melindungi hak kita terutamanya dalam menguruskan hak minyak dan gas menerusi penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
“Hak Sarawak dan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) banyak yang telah terhakis termasuk hak ke atas minyak dan gas disebabkan kita kurang jumlah Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.
“Maka itu, kita Sabah dan Sarawak harus mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen bagi mewakili wilayah Borneo ini agar jumlah itu seimbang,” katanya.
Catat Ulasan