KUCHING: Tuntutan lain berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih belum dipersetujui akan dibawa ke peringkat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara ini dijelaskan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof yang berkata, mesyuarat MTPMA63 itu dijadualkan pada Mei nanti yang turut akan dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
"Kerajaan MADANI akan meneruskan perbincangan mengenai tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum dipersetujui.
"Ada banyak tuntutan yang masih belum dipersetujui dan perlu dibawa ke peringkat MTPMA63 yang mana mesyuarat itu nanti akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penyertaan bersama Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Penutupan Program Kem Ihya Ramadan 2025 di Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) di Telaga Air dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut tuntutan yang belum dipersetujui itu, Fadillah berkata antaranya berhubung kait dengan tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen daripada Sabah, Sarawak.
Selain itu, katanya perkara berkaitan dengan pelantar benua dan beberapa isu berkenaan tafsiran perundangan di peringkat persekutuan dan peringkat negeri tidak sama.
Tegasnya, perkara itu agak kompleks dan memerlukan keputusan tertinggi kepimpinan negara.
Justeru, katanya Kerajaan MADANI akan berbincang bersama kerajaan negeri Sarawak dan Sabah untuk mendapatkan hala tujunya.
"Kita berharap akan ada keputusan ataupun mungkin tidak ada keputusan, itu kita hanya akan dapat tahu bila perkara ini dapat dilaporkan pada mesyuarat majlis itu nanti,” ujarnya.
tamat
Catat Ulasan