KUCHING-- Kem Ihya’ Ramadan, sebuah inisiatif yang berterusan dalam membentuk sahsiah remaja Muslim yang berakhlak mulia, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2013, kem itu menjadi platform penting dalam pembentukan peribadi remaja melalui penghayatan Ramadan.
"Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Kem Ihya’ Ramadan 2025/1446H, bertemakan Institusi Keluarga, Membina Sahsiah Remaja Muslim, program ini dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Sahabat Amal Negeri Sarawak dengan kerjasama Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS).
"Hati yang baik akan mendorong kita kepada perkara yang baik. Dalam era digital sekarang ini, ramai anak muda telah berjaya menjadi usahawan dan pencipta kandungan melalui teknologi.
"Justeru, kita perlu memperkukuhkan hati, emosi dan mental agar setiap peluang yang ada dapat dimanfaatkan dengan ilmu dan kebijaksanaan," katanya ketika berucap pada majlis itu hari ini.
Di Petra Jaya, Fadillah berkata beliau akan terus menyokong program-program yang menekankan latihan dan pendidikan, termasuk bagaimana teknologi seperti AI dan Big Data boleh dimanfaatkan untuk pentadbiran serta kesejahteraan masyarakat.
"Semoga program seperti ini akan terus berkembang dan memberi manfaat yang berpanjangan. Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakannya," ujarnya.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Amal Negeri Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kem Ihya Ramadan 2025 Ustaz Wan Lukmanhakim Wan Sajali, Pengarah IKMAS Zaizurina Mansor, Pemanca Daerah Kuching Utara Roshidi Junai, serta Ketua Kampung Telaga Air Zaini Tanggek.
Selepas itu, Fadillah terus ke Masjid Darul Solihin, Telaga Air untuk menunaikan solat Zohor berjemaah dengan penduduk di kawasan tersebut.
Pada sebelah petangnya pula, beliau bersama 100 pemuda dan belia dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong, DUN Samariang dan DUN Satok, berkonvoi bermotosikal dari Kolej Komuniti Petra Jaya ke Dewan Kampung Semariang Batu untuk Program Konvoi Santai Bermotosikal Pengagihan Bubur Asyura Anak Muda Petra Jaya.
Katanya, sebanyak 800 pek bubur asyura diagihkan kepada penduduk kampung dari ketiga-tiga DUN berkenaan dalam program anjuran Pusat Khidmat Parlimen P.194 Petra Jaya.
"Saya turut mengagihkan 50 bakul makanan kepada golongan Asnaf sumbangan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
"Usai majlis itu saya terus ke di Masjid Nurul Khair yang terletak berhampiran untuk solat berjemaah bersama penduduk kawasan," tambahnya.
Pada masa sama beliau sempat meninjau keadaan sistem perparitan di hadapan masjid berkenaan susulan aduan penduduk.
tamat
Catat Ulasan