Kaedah pengukuran kadar kemiskinan perlu dinilai semula - Abdul Karim

 


KUCHING-- Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mencadangkan kaedah pengukuran kadar kemiskinan sesebuah negeri perlu dinilai semula.


Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu menegaskan, kadar kemiskinan sesebuah negeri tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada data eKasih.


“Saya ada membaca kenyataan yang dibuat Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkenaan peruntukan terbesar diberikan kepada negeri-negeri termiskin dan enam negeri yang telah dinyatakan itu, dua daripada negeri tersebut adalah Sabah dan Sarawak.


“Jadi cara mengukur sesebuah negeri miskin ataupun tidak ia banyak cara, kalau kita lihat sebelum ini ia menggunakan kaedah eKasih. 


“Bila dibuka eKasih dahulu, ramai di Sarawak ini mendaftat kerana eKasih ini kalau kita jadi seorang petani atau nelayan yang tidak ada gaji tetap walaupun perolehan itu boleh mencecah RM10,000 sebulan pun dikira miskin juga, sebab itu kita selalu mengatakan ia perlu di atur semula,” katanya mengulas kenyataan Rafizi berkenaan perkara itu.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama warga Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kuching, Jalan Puncak Borneo, di sini malam tadi.


Tambah Abdul Karim, cara pengukuran sesebuah negeri itu miskin atau tidak, perlu dilihat semula memandangkan data eKasih tidak menunjukkan realiti sebenar.


“Sebab itu dahulu saya menyentuh berkenaan PADU (Pangkalan Data Utama), PADU pun mengguna eKasih.


“eKasih ini kalau kita lihat ia ada kelemahannya juga seperti yang saya katakan tadi mengambil contoh seorang petani di kawasan Asajaya misalnya hasil jualan jagung dan sebagainya lebih daripada RM5,000 sebulan, lebih besar berbanding gaji mereka yang ada slip gaji tetapi dianggap masih miskin, mereka mohon bantuan mereka masih dapat juga kerana tidak ada slip gaji,” jelasnya lagi.


Bagaimanapun, beliau gembira sekiranya kerajaan persekutuan terus memberikan peruntukan besar untuk Sarawak meskipun negeri ini mempunyai pendapatan yang tinggi.


“Kalau peruntukan yang besar diberi kepada Sarawak oleh kementerian, alhamdulillah. Walaupun kita tahu negeri kita kaya, dari segi dana kita banyak kerajaan persekutuan masih nak memberi alhamdulillah,” ujarnya.


Rafizi ketika menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin memberitahu, enam negeri termiskin iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis perlu berusaha memastikan jurang kemiskinan antara negeri lain dikecilkan dan tidak hanya mengharapkan peruntukan tinggi terus disalur dari kerajaan pusat.


Katanya, enam negeri tersebut sudah menerima peruntukan jauh lebih tinggi berbanding negeri lain sejak tahun 2021.


tamat

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama