![]() |
Kasawari (CCS), yang boleh menjadi projek CCS luar pesisir terbesar di dunia |
KUCHING-- Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (RUU CCUS) 2025 yang dibaca buat kali pertama di Dewan Rakyat hari ini hanya akan terpakai di Semenanjung dan Labuan, tidak termasuk Sabah dan Sarawak.
Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan Bacaan Kedua dan Bacaan Ketiga RUU CCUS itu dijangka diadakan pada esok (5 Mac 2025).
"Penggubalan RUU CCUS ini adalah langkah penting bagi Malaysia mempercepat usaha mitigasi perubahan iklim berasaskan teknologi ke arah mencapai aspirasi sifar bersih pada tahun 2050.
"CCUS bukan sekadar penyelesaian teknologi untuk mitigasi iklim, tetapi juga pemacu pelaburan hijau, inovasi, dan penciptaan peluang pekerjaan.
"Dengan ekosistem yang betul, Malaysia boleh menjadi peneraju serantau dalam teknologi rendah karbon, sekali gus mempercepat peralihan tenaga dan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi hijau," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, dunia sedang bergerak pantas ke arah sifar bersih dan jika Malaysia ingin kekal relevan dan berdaya saing, negara mesti memanfaatkan teknologi ini bukan hanya sebagai strategi iklim, tetapi sebagai peluang ekonomi masa depan.
"RUU ini membuka jalan, tiba masanya untuk sektor industri, pelabur, dan pemegang taruh bersedia melangkah ke hadapan," ujarnya.
Sementara itu, memetik laporan The Edge Malaysia, Sabah dan Sarawak yang dikecualikan adalah rumah kepada lembangan hidrokarbon luar pesisir yang prolifik di negara ini, yang boleh digunakan untuk menyimpan karbon yang ditangkap.
Projek pemerangkapan karbon pertama Malaysia terletak di Sarawak, iaitu projek Pemerangkapan dan penyimpanan karbon Kasawari (CCS), yang boleh menjadi projek CCS luar pesisir terbesar di dunia, dan yang pertama oleh syarikat minyak nasional Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Projek pemerangkapan karbon lain yang didedahkan sebelum ini termasuk luar pesisir Semenanjung Malaysia berhampiran Kuantan, Pahang, juga oleh Petronas, digelar hab CCS Selatan.
RUU CCUS dibahagikan kepada 10 bahagian dan mengandungi 53 fasal, menekankan tanggungjawab pengendali tapak penyimpanan dalam perlindungan alam sekitar, pengurusan risiko dan liabiliti untuk memastikan operasi CCUS yang selamat, bertanggungjawab dan mematuhi peringkat antarabangsa.
Catat Ulasan