BAS.MY Kuching mula beroperasi hari ini, libatkan 48 hentian

 

bas.my


KUCHING — Perkhidmatan BAS.MY Kuching mula beroperasi di bandar raya ini melibatkan 48 hentian dengan kadar tambang yang berpatutan dan mesra pengguna terutamanya golongan orang kurang upaya (OKU).

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, BAS.MY Kuching merupakan inisiatif di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) memulakan operasi hari ini dengan enam buah bas akan bergerak di sepanjang laluan Q10 iaitu dari Open Air Market ke Serian.

“Bas mesra OKU ini akan bergerak sejauh 67 kilometer (km), melibatkan 48 hentian bas dan menawarkan tambang berpatutan.

“Jumlah perkhidmatan bas ini akan ditingkatkan secara berfasa dengan 56 bas secara keseluruhannya akan beroperasi menjelang akhir April nanti,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menyempurnakan perasmian pengoperasian SBST BAS.MY Kuching di Open Air Market, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Lee berkata, sepatutnya 10 bas milik BAS.MY Kuching mula operasi namun empat lagi masih belum beroperasi.

Bagaimanapun, katanya, 20 lagi bas akan memulakan operasinya pada Mac ini, manakala tambahan 26 lagi bas akan beroperasi pada akhir April.

Jelasnya lagi, 56 bas moden itu dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV), mesra OKU dan kadar tambang yang rendah di samping dilengkapi dengan Sistem Penentududukan Sejagat (GPS). 

Menurutnya lagi bas tersebut juga menawarkan perkhidmatan percuma kepada pelajar, OKU dan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas, di mana mereka boleh memohon Kad Konsesi BAS.MY dengan pihak pengendali.

“Justeru, saya berharap dengan adanya bas-bas baharu ini, pengendali akan benar-benar mengendalikan bas mengikut jadual dan mematuhi ketepatan waktunya kerana salah satu perkara yang paling penting yang saya fikirkan dalam menyampaikan perkhidmatan seumpama ini adalah ketepatan waktu dan kebolehpercayaan.

“Pada masa sama saya juga berharap syarikat bas ini termasuk pengendali akan memastikan bas mereka beroperasi mengikut jadual dan sudah tentu, agensi penguatkuasa akan memeriksa, memastikan bahawa bas beroperasi mengikut jadual dan mengikut terma dan syarat SBST,” tambahnya.

Pada majlis pelancaran itu, Lee sempat merasai sendiri pengalaman menaiki bas berkenaan ke Hospital Umum Sarawak (HUS), sebelum bas berkenaan meneruskan perjalanan ke Serian pada hari pertama operasinya.

Untuk makluman kadar tambang bas ini seperti berikut: Kuching - Serian RM12.40, Kuching - Siburan RM6.80, Kuching - Unimas RM4.10, Kuching - Pusat Jantung Kota Samarahan RM3.50, Kuching - Emart Tabuan Jaya RM2.30, Kuching - Viva City RM1.90, Kuching - The Spring RM1.50 dan Kuching – Hospital Umum Sarawak RM1.00



Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama