![]() |
Ibrahim Baki mengangkat sumpah jawatan. Gambar ihsan Jabatan Penerangan |
KUCHING— Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan rombakan kecil Kabinet Negeri dengan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki sebagai Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) yang menjaga portfolio Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Ibrahim mengangkat sumpah jawatan itu hari ini dihadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Timbalan Menteri Sarawak di Astana Negeri Sarawak hari ini.
Hadir menyaksikan istiadat tersebut, Premier Sarawak, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta barisan Timbalan Menteri.
Abang Johari dalam sidang medianya memberitahu, pelantikan Ibrahim sebagai Timbalan Menteri itu berkuat kuasa hari ini.
Jelasnya, pelantikan ini telah mendorong kepada satu penyusunan semula kecil dalam Kabinet Negeri di mana ADUN Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) yang juga berkuat kuasa hari ini.
"Pelantikan baharu dan rombakan kecil dalam Kabinet Negeri ini bertujuan untuk memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan GPS kepada rakyat serta meningkatkan sektor tenaga, termasuk pelaburan dalam industri minyak dan gas.
"Langkah ini juga akan membolehkan Kerajaan Sarawak merancang strategi yang lebih berkesan dalam usaha mencapai visi Sarawak sebagai sebuah wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030)," katanya.
Mengulas lanjut jawatan Timbalan Menteri yang dipegang Ibrahim itu, Abang Johari berkata, Ibrahim akan bertanggungjawab ke atas Petros dengan mengurus dan menyelaras pembangunan gas wilayah ini melalui penubuhan sebuah jawatankuasa menteri yang diketuai Timbalan Menteri tersebut.
"Kita memerlukan individu yang mempunyai latar belakang dalam bidang undang-undang, korporat serta konsesi untuk menjayakan usaha membangunkan industri gas kita, khususnya pelaksanaan pelan hala tuju industri gas.
"Beliau mempunyai kelebihan kerana beliau berpengalaman luas. Beliau pernah berkhidmat di Petronas, pernah berkhidmat sebagai pegawai undang-undang di Petronas, dan pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Petronas," ujarnya.
Pada masa sama beliau memberitahu, pengalaman itu membolehkan Ibrahim membantu dalam menyelaras dan menjalin kerjasama strategik dengan Petronas dalam usaha melaksanakan pelan hala tuju gas, serta menjayakan kerjasama antara Petronas dan Petros berdasarkan terma perjanjian komersial yang akan dimeterai antara kedua-dua pihak terutamanya rundingan bersama Petronas.
Selain itu, katanya, Ibrahim juga menjaga portfolio SEB, yang memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga, tenaga boleh diperbaharui dan juga menambah bekalan tenaga dalam usaha menjadi hab tenaga hijau Asia Tenggara (ASEAN).
Catat Ulasan